Selamat Datang ke KMNS

  • LOGO

    LOGO

    Bentuk glob dipaparkan membawa maksud bahawa Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan ini barada di dalam dunia yang global. Dalam erti kata yang lain, KMNS berada dalam dunia yang tanpa sempadan.

    Huruf abjad KMNS melambangkan bahawa kolej ini merupakan sebahagian daripada dunia. Di samping itu, ianya juga merupakan singkatan motto kolej iaitu "Kita Menjana Nilai dan Skor". Bentuknya yang seolah-olah seperti pena bermaksud kolej ini merupakan salah sebuah institusi pendidikan yang terdapat di Malaysia. Manakala tujuannya yang menghala ke kanan melambangkan pemikiran yang sentiasa positif dan mempunyai visi serta misi yang sangat mulia untuk dicapai pada masa akan datang.

    Warna kuning, hijau dan biru melambangkan warna-warna Kolej Kediaman yang terdapat di KMNS ini. Warna kuning yang diletakkan sebagai latar belakang melambangkan bahawa kolej ini berada di dalam sebuah negeri yang dipimpin oleh seorang raja.

    Warna hijau melambangkan keimanan yang berteraskan agama Islam. Ia juga mencerminkan keteguhan jatidiri setiap warga kolej khususnya dalam mencapai cita-cita dan matlamat kolej yang diimpikan.

    Warna biru menunjukkan kesepaduan dan pemuafakatan di antara warga kolej khususnya di kalangan staf dan pelajar.

    Logo ini dicipta oleh Tn. Hj. Rosli bin Abdul Rani (Mantan Pensyarah Unit Pendidikan Islam dan Moral)
  • LAGU

    Lirik Lagu 

    Disini wajahmu nan megah
    Lahir generasi berilmu
    Berfikiran positif
    Berkemahiran
    Menjana Kejayaan
    Tingkatkan nilai modal insan
    Sahsiah mulia
    Berketrampilan
    Harmoni dan seiringan
    Kita Menjana Nilai Dan Skor
    Dunia penuh cabaran
    Kami sasar wawasan
    Maju...
    KMNS...
    Gemilang terus terbilang


  • PIAGAM PELANGGAN

    Kami warga Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, dengan penuh tekad dan iktizam berikrar dan berjanji akan:
     
    1. Menyediakan pelajar yang berkualiti untuk mengisi program ijazah pertama dalam bidang sains dan perakaunan di IPT
     
    2. Memberi peluang yang sama kepada setiap pelajar untuk mendapat pendidikan yang berkualiti
     
    3. Menyediakan staf terlatih yang berdedikasi, berakauntabiliti, berdisiplin, produktif dan inovatif
     
    4. Memastikan kemudahan peralatan, bahan pengajaran dan sumber rujukan yang berkualiti disediakan
     
    5. Memastikan suasana yang harmoni dan kondusif melalui penyediaan pelbagaian kemudahan dan perkhidmatan kebajikan
  • VISI, MISI, OBJEKTIF

    Dasar Kualiti
    Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan beriltizam memberi perkhidmatan berkualiti dalam Pengurusan Hal Ehwal Akademik, Undang-undang Berkaita, Pelajar dan Pembangunan Staf bagi memastikan pihak berkepentingan mendapat manfaat terbaik melalui perlaksanaan sistem pengurusan kualiti yang cekap dan berkesan secara berterusan.

    Visi
    Penjana unggul pelajar Bumiputera berkualiti ke institusi pengajian tinggi dalam sains, teknologi dan profesional.

    Misi
    Membangunkan potensi pelajar Bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti untuk melahirkan modal insan yang cemerlang.

    Objektif KMNS
    1. Membangunkan modal insan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
    2. Menyediakan lulusan Program Matrikulasi bagi memenuhi keperluan institusi pengajian tinggi awam dalam bidang sains, teknologi dan profesional.
    3. Menjana lepasan Program Matrikulasi yang berpengetahuan, kreatif dan berdaya saing.
    4. Mensasarkan sekurang-kurangnya 10% daripada jumlah pelajar mendapat PNGK 4.00 bagi pelajar Program Matrikulasi Satu Tahun dan 60% daripada jumlah pelajar mendapat sekurang-kurangnya PNGK 3.00 bagi pelajar Program Matrikulasi Satu Tahun.
  • SEJARAH

    SEJARAH

    Kita Menjana Nilai Dan Skor merupakan motto yang dipaksikan kepada Kolej Matrikulasi negeri Sembilan.

    Terletak di daerah Kuala Pilah, 110 ke selatan Kuala Lumpur, adalah lokasi terletaknya Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, KMNS.

    Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan merupakan salah sebuah kolej yang mengendalikan Program Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia.

    Kolej ini dibina di atas tapak seluas 85 ekar yang merupakan bekas tapak Pusat Matrikulasi Universiti Kebangsaan Malaysia.

    KMNS mula beroperasi pada 1 Januari 2000 dan mula menerima kemasukan pelajar pertamanya pada 17 Januari 2000.

    KMNS dirasmikan oleh Dato’ Sri Hishamudin Bin Tun Hussein, Menteri Pendidikan Malaysia pada 5 September 2006.

    KMNS dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bertujuan memberikan keselesaan kepada warga kolej, khususnya para pelajar.

    Antaranya ialah kolej-kolej kediaman yang dinamakan Kolej Kediaman Jauhari dan Kolej Kediaman Cendikia yang menempatkan pelajar puteri sementara Kolej Kediaman Bestari menempatkan pelajar putera.

    Kemudahan-kemudahan lain ialah kompleks sukan, pusat sumber, makmal komputer, dobi layan diri, kedai koperasi dan sebagainya.

    Sebagai sebuah institusi pendidikan di bawah naungan Kementerian Pendidikan Malaysia, kolej ini yang menyediakan program persediaan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia sebelum menyambung pengajian ke Ijazah Pertama di peringkat Universiti awam dan Swasta di Malaysia dan di luar negara.

    Terdapat 2 jurusan yang ditawarkan di KMNS. Jurusan Sains dan Jurusan Perakaunan.

    Antara subjek yang ditawarkan dalam Jurusan Sains ialah Matematik, Kimia, Biologi dan Sains Komputer.

    Manakala subjek yang ditawarkan dalam Jurusan Perakaunan ialah Matematik, Akaun, ekonomi dan pengurusan perniagaan.

    Pelajar KMNS turut dilengkapi dengan pengalaman kehidupan dan pembelajaran seperti surau, pusat sumber, pusat sukan dan kafeteria.

    Seiring dengan arus pemodenan dan revolusi Perindustrian 4.0, KMNS akan sentiasa berinovasi agar kekal relevan sebagai kolej matrikulasi terbaik di Malaysia.